Sunday, November 29, 2009

MANGSA KEADAAN

Hari Haji baru sahaja berlalu. Tahun ni pula, aku sekeluarga tak pergi ke mana, cuma balik rumah mak aku di Cheras sahaja. Tapi apa yang aku lalui pada raya haji tahun ni, amat menyedihkan hatiku. Walaupun sebilangan drama aku muncul di kaca TV, tapi hati aku tersentuh dengan tindakan Mak aku yang merajuk pada aku pada sehari selepas raya haji.

Aku cuba berfikir, apa kesalahan aku. Aku cuba mempertahankan hak dan prinsip aku, tetapi tidak berpeluang. Dengan cara inilah, aku cuba meluahkannya. Dari apa yang aku ingin luahkan, menjadi satu persoalan dan seterusnya jawapan permasalahan aku ini.

Pertama, aku sekeluarga sudah merancang untuk pulang ke Johor bagi raya haji tahun ini dan menolak untuk menghadiri majlis korban yang diadakan oleh adik aku di rumah mertuanya. Oleh kerana kenyataan ibu dan bapaku dimana mereka tidak membenarkan aku pulang ke johor kerana tiada orang di sana, aku batalkan dan hanya beraya di KL. Tetapi aku tetap tidak akan menghadiri majlis korban itu kerana berhadapan dengan beban kerja di tangan. Namun mereka semua tidak faham dan terus mendesak hingga menelefon aku supaya aku datang ke majlis berkenaan. Aku bukannya tidak mahu pergi, pada malam itu, aku tidur jam 3 pagi dan lesu tidak bermaya. Oleh kerana tidak tahan dengan desakan, aku telah tersalah cakap hingga membuatkan hati ibuku terluka.

Aku memang tidak berniat untuk berbuat demikian. Tetapi aku berfikir, kenapa perlu aku di desak sedemikian? Aku bukannya nak balas dendam, tetapi sekadar untuk peringatan agar mereka-mereka di sekelilingku berfikir... Aku memang anak kedua dari 4 beradik. Aku ada seorang abang yang umumnya anak yang sulong adalah menjadi anak kesayangan ibubapa, dan aku nombor 2 hanya tiga tahun beza dengan adik aku ni untuk aku merasai semua itu. Adik aku bezanya dengan bongsu selama 9 tahun dan aku rasa cukup nikmat manja yang diberi oleh kedua ibubapa ku padanya.

Dari apa yang aku nilaikan, aku ni memang banyak bagi masalah pada keluarga. Aku boleh dikatakan nakal sedikitlah. Bukan maksud aku mereka semua tak sayang pada aku, tapi aku rasa anak nombor dua ni, dia berada di tengah-tengah dan perlu membiasakan diri dengan keadaan.

Aku cuba berhadapan dengan masalah itu. Hinggalah aku berkahwin, abang dan adik ku tidak hadir pada majlis perkahwinan aku di kedah. Apa salah aku? Tapi akulah yang menjadi tulang belakang semasa mereka berdua berkahwin. Pada ketika aku membuat majlis akikah untuk adik beradikku di kedah, aku buat untuk mereka, tak sedikit pun mereka berasa untuk pergi ke sana? Sedangkan aku dan keluarga ku adalah orang yang selalu menghadiri apa-apa majlis yang di anjurkan oleh mereka.

Memang benar Tuhan itu Maha Adil. Tetapi mereka-mereka itu tidak adil kepadaku. Segala apa yang aku buat adakah tidak pernah mendapat perhatian dari mereka, tetapi jika tersilap sedikit hanya sekali, aku menjadi mangsa dosa itu. Alhamdulillah, aku bukannya nak cakap besar tetapi aku rasa aku dah buat lebih dari cukup apa untuk mereka. Adakah aku perlu menjaga hati semua orang, sedang hati aku tiada siapa pun yang tahu....

Atas dasar apa hinggakan ibu aku sanggup menarik muka pada aku. Dia kata aku marah pada dia? Aku tinggikan suara pada dia... Aku fikir, kalau aku betul sekalipun, aku tetap bersalah sebab dia ibu. Aku takut kalau-kalau aku dikategorikan sebagai menderhaka. Jadi aku meruntuhkan ego aku dan aku memohon maaf pada ibu aku. Cuma yang aku kesalkan, kenapa kesalahan itu di letakkan pada aku? Kerana aku anak nombor dua? Sebab aku ni memang selalu dijadikan bahan pelepasan kemarahan dan masalah?

Selalunya aku berfikir bagaimana untuk aku memulihkan perhubungan adik beradik orang lain, tetapi aku tak sangka, aku pun berhadapan dengan masalah yang sukar untuk aku hadapi. Pernah juga aku terfikir untuk tinggal lebih jauh dari mereka agar mereka pula merasa rindu dan menanti kepulanganku. Tinggal berdekatan ni, rasa apa yang kita buat di cemburui dan di salah ertikan oleh orang lain.

Inilah kisah aku yang menjadi mangsa pada keadaan... Walaupun aku berat menyatakan kesalahanku, tetapi aku akan tetap bersalah dan bersalah. Sebagai seorang anak, aku perlu berbuat baik pada mereka dan biarlah orang lain yang boleh lakukan pada mereka, jangankan aku.... sesungguhnya mereka tidak pernah lihat dan memarahi atau merajuk hati kepada anak-anak mereka yang lain walaupun adakalanya mereka buat lebih daripada aku...

1 comment:

  1. kadang-kadang kita rasa kita dah buat terbaik untuk dia..kadang-kadand kita fikir kenapa semuanya salah kita..kadang-kadang kita rasa lebih baik baik kita tiada daripada ada tapi menyakitkan hati dia..dan kadang-kadang kita rasa kenapa kita saja yang selalu jadi mangsanya..tp kerana kadang-kadang itulah sebenarnya yang selalu memberi kekuatan dan kesabaran dalam hidup kita...
    ~Psu 1 Selaras (anak no. 2) :)

    ReplyDelete