Sunday, November 29, 2009

MANGSA KEADAAN

Hari Haji baru sahaja berlalu. Tahun ni pula, aku sekeluarga tak pergi ke mana, cuma balik rumah mak aku di Cheras sahaja. Tapi apa yang aku lalui pada raya haji tahun ni, amat menyedihkan hatiku. Walaupun sebilangan drama aku muncul di kaca TV, tapi hati aku tersentuh dengan tindakan Mak aku yang merajuk pada aku pada sehari selepas raya haji.

Aku cuba berfikir, apa kesalahan aku. Aku cuba mempertahankan hak dan prinsip aku, tetapi tidak berpeluang. Dengan cara inilah, aku cuba meluahkannya. Dari apa yang aku ingin luahkan, menjadi satu persoalan dan seterusnya jawapan permasalahan aku ini.

Pertama, aku sekeluarga sudah merancang untuk pulang ke Johor bagi raya haji tahun ini dan menolak untuk menghadiri majlis korban yang diadakan oleh adik aku di rumah mertuanya. Oleh kerana kenyataan ibu dan bapaku dimana mereka tidak membenarkan aku pulang ke johor kerana tiada orang di sana, aku batalkan dan hanya beraya di KL. Tetapi aku tetap tidak akan menghadiri majlis korban itu kerana berhadapan dengan beban kerja di tangan. Namun mereka semua tidak faham dan terus mendesak hingga menelefon aku supaya aku datang ke majlis berkenaan. Aku bukannya tidak mahu pergi, pada malam itu, aku tidur jam 3 pagi dan lesu tidak bermaya. Oleh kerana tidak tahan dengan desakan, aku telah tersalah cakap hingga membuatkan hati ibuku terluka.

Aku memang tidak berniat untuk berbuat demikian. Tetapi aku berfikir, kenapa perlu aku di desak sedemikian? Aku bukannya nak balas dendam, tetapi sekadar untuk peringatan agar mereka-mereka di sekelilingku berfikir... Aku memang anak kedua dari 4 beradik. Aku ada seorang abang yang umumnya anak yang sulong adalah menjadi anak kesayangan ibubapa, dan aku nombor 2 hanya tiga tahun beza dengan adik aku ni untuk aku merasai semua itu. Adik aku bezanya dengan bongsu selama 9 tahun dan aku rasa cukup nikmat manja yang diberi oleh kedua ibubapa ku padanya.

Dari apa yang aku nilaikan, aku ni memang banyak bagi masalah pada keluarga. Aku boleh dikatakan nakal sedikitlah. Bukan maksud aku mereka semua tak sayang pada aku, tapi aku rasa anak nombor dua ni, dia berada di tengah-tengah dan perlu membiasakan diri dengan keadaan.

Aku cuba berhadapan dengan masalah itu. Hinggalah aku berkahwin, abang dan adik ku tidak hadir pada majlis perkahwinan aku di kedah. Apa salah aku? Tapi akulah yang menjadi tulang belakang semasa mereka berdua berkahwin. Pada ketika aku membuat majlis akikah untuk adik beradikku di kedah, aku buat untuk mereka, tak sedikit pun mereka berasa untuk pergi ke sana? Sedangkan aku dan keluarga ku adalah orang yang selalu menghadiri apa-apa majlis yang di anjurkan oleh mereka.

Memang benar Tuhan itu Maha Adil. Tetapi mereka-mereka itu tidak adil kepadaku. Segala apa yang aku buat adakah tidak pernah mendapat perhatian dari mereka, tetapi jika tersilap sedikit hanya sekali, aku menjadi mangsa dosa itu. Alhamdulillah, aku bukannya nak cakap besar tetapi aku rasa aku dah buat lebih dari cukup apa untuk mereka. Adakah aku perlu menjaga hati semua orang, sedang hati aku tiada siapa pun yang tahu....

Atas dasar apa hinggakan ibu aku sanggup menarik muka pada aku. Dia kata aku marah pada dia? Aku tinggikan suara pada dia... Aku fikir, kalau aku betul sekalipun, aku tetap bersalah sebab dia ibu. Aku takut kalau-kalau aku dikategorikan sebagai menderhaka. Jadi aku meruntuhkan ego aku dan aku memohon maaf pada ibu aku. Cuma yang aku kesalkan, kenapa kesalahan itu di letakkan pada aku? Kerana aku anak nombor dua? Sebab aku ni memang selalu dijadikan bahan pelepasan kemarahan dan masalah?

Selalunya aku berfikir bagaimana untuk aku memulihkan perhubungan adik beradik orang lain, tetapi aku tak sangka, aku pun berhadapan dengan masalah yang sukar untuk aku hadapi. Pernah juga aku terfikir untuk tinggal lebih jauh dari mereka agar mereka pula merasa rindu dan menanti kepulanganku. Tinggal berdekatan ni, rasa apa yang kita buat di cemburui dan di salah ertikan oleh orang lain.

Inilah kisah aku yang menjadi mangsa pada keadaan... Walaupun aku berat menyatakan kesalahanku, tetapi aku akan tetap bersalah dan bersalah. Sebagai seorang anak, aku perlu berbuat baik pada mereka dan biarlah orang lain yang boleh lakukan pada mereka, jangankan aku.... sesungguhnya mereka tidak pernah lihat dan memarahi atau merajuk hati kepada anak-anak mereka yang lain walaupun adakalanya mereka buat lebih daripada aku...

Wednesday, October 28, 2009


Ini dia tulang belakang kenduri Si Ibu sedang mengarak anaknya
Akikah anak aku. Pak Lang.... untuk mencukur jambul...
Sejak arwah bapa mertua aku
meninggal dunia, pada dia nilah
banyak aku buat rujukan mengenai
keluarga.



Ni pula, tiga hero kampung. Kacak tak?



Anak buah aku... Kak Cik. Anak abang ipar aku no.3


Ni pula Piji. Dia pun anak abang ipar aku. Kira tengah sibuklah tu...





Tuesday, October 20, 2009

UPIN&IPIN

MUHAMMAD HARIZ HAIKAL BERSAMA PATUNG UPIN & IPIN. Kopak-kopak...

Thursday, October 8, 2009

Cinta Seorang Mat Rock

Sebuah lagi drama karya aku bertajuk CINTA SEORANG MAT ROCK telah pun disiarkan pada 2 Oktober 2009 (Jumaat) jam 9.00 malam di rangakaian RTM - TV2. Sebuah drama Romantik Komedi yang di terbitkan oleh Gama Taktik Sdn. Bhd. dan Apachee selaku Pengarah drama ini yang dilakonkan oleh saudara Faiz dan Ju Aziz mengisahkan tentang Amar yang berjiwa rock dan tidak suka pada konsep jiwang dan bunga-bunga. Namun hatinya mula berubah setelah bertemu dengan seorang gadis cantik. Drama ini juga aku muatkan sebuah lagu ciptaan komposer baru iaitu Lieynur Liey (abang aku sendiri) serta liriknya ditulis oleh aku bertajuk 'KAU' yang telah dinyanyikan oleh rakan aku Zahri (Jawa). Sebagai satu penghargaan, lagu ini aku tujukan kepada isteriku yang tersayang dan keluargaku. Terima kasih...

DRAMA-DRAMA YANG BAKAL DITAYANGKAN

Assalammualaikum dan Salam sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana terus menyokong saya untuk terus berkarya dalam bidang seni tanahair. Insyaallah saya akan terus memperbaiki dan mencari yang terbaik untuk anda semua:-
Antara drama-drama karya saya yang akan disiarkan oleh Stesen Penyiaran Tanahair pada tahun ini - 2009:
1. Akulah Perempuan Itu - Cerekarama TV3
2. Seringgit - Khas Raya Haji = RTM
3. Kasih Tania 2 - Khas Raya Haji - RTM
4. Selagi Ada Waktu - Khas Raya Haji - RTM
5. Pondok Plastik Tepi Kubur - Astro Prima

Wednesday, September 30, 2009

MAJLIS AKIKAH MUHAMMAD HAZQIL HAKIMI BIN MOHD FADZIL

Pada Tanggal 26 September 2009 iaitu bersamaan 7 Syawal 1430H, aku telah melaksanakan Akikah untuk anak keduaku bernama Muhammad Hazqil Hakimi Bin Mohd Fadzil beserta akikah untuk diriku sekali, tiga orang adik beradikku iaitu Abangku, Mohd Fadli Mazlan dan dua orang adik perempuanku Nor Fadillah Bt Mazlan dan Nor Fazira Bt Mazlan, anak bongsu abang iparku Nur Ezzah Asma Farina serta anak bongsu kakak iparku Muhammad Zamir. Seekor lembu ditumbangkan dan majlis dihadiri oleh seluruh penduduk kampung Besah, Baling, Kedah dan jemputan orang luar. Majlis turut diceriakan dengan kesudian kedua orang tuaku yang turut hadir sama di Kedah bagi memeriahkan majlis. Kenduri Akikah yang dilaksanakan ala kenduri perkahwinan ini aku buatkan khas kepada anakku yang kedua ini kerana kesyukuran dan rasa rendah diriku kepada nikmat dan rezeki yang aku perolehi selama ini. Justeru, telah aku tunaikan apa yang telah di pertanggungkan kepadaku dan juga ayahku untuk melaksanakan Akikah jika termampu. Alhamdulillah...
Disini aku mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu mertuaku, keluarga sebelah isteriku, abah dan emak yang banyak memberi sokongan dan membantu untuk menjayakan majlis ini. Kepada semua penduduk kampung yang sama-sama hadir dan membantu untuk majlis ini, aku rasakan cukup teruja melihat perpaduan yang anda semua hulurkan. Pengalaman kenduri kendara di bandar jauh sekali dengan di kampung. Walaupun penat dan keletihan, namun ianya tidak terasa kerana kerjasama yang dihulurkan oleh semua pihak. TERIMA KASIH.

CERITA HARI RAYA

Pehhh... Hari Raya tahun ni lain dari yang lain telah aku buat. Pertama, tahun ni aku balik kampung naik keratapi. Aku dengan anak sulung aku. Dua beranak je. Sebab, kereta ada kat kampung... Lagipun anak aku ni asyik dok tanya bila nak naik keretapi. Sekali-sekali rasa naik pengangkuatan awam apasalahnya, ye tak? Tapi apa yang aku dapat adalah entah kat mana serua kerajaan yang menguar-uarkan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Yelah, dengan rasa riang di hati ingin pulang ke kampung pada 18 Haribulan September hari tu, dengan orang ramai yang berpusu-pusu berbaris, tetapi servis atau perkhidmatan keretapi yang diberikan ketika itu amat mengecewakan. Tiket aku tertulis Sila berada di platform 30 minit awal sebelum masa bertolak namun apa yang aku dapati, hampir 1 jam setengah aku dan orang ramai dok menunggu keretapi yang ada masalah. Kalau masalah teknikal boleh di maafkan tetapi entah apa masalah agaknya kami semua tak tahu. Seorang penyampai masalah bersuara dari corong pembesar suara yang menyatakan masalah yang dihadapi dan masa yang diperuntukan. Namun hasilnya tetap sama, bila bergema suara pengumuman, kami semua rasa berang, bukannya rasa ceria. Aku harap lepas ni KTM Berhad dapat atasi masalah yang dihadapi oleh mereka itu. Ada juga yang aku kesalkan apabila terlihat penumpang keretapi yang tiada bertiket turut ada di dalam keretapi tersebut. Walaupun semuanya nak pulang beraya, tapi ini bukannya jalan untuk tangkap muat dan duduk menghalang laluan penumpang lain. Isu tiket pun KTM Berhad harus peka kerana ini adalah Dasar Keselamatan yang mereka harus pertingkatkan.
SALAM...

Tuesday, September 15, 2009

SALAM AIDILFITRI

RAYA...RAYA...!!!
Sebut pasal raya, sudah tentu kita semua akan rasa teruja. Biasalah, dah sebulan kita berpuasa. Berlapar dan dahaga. Dah habis dah tempohnya. Apa lagi, terbayang di mata segala ketupat, rendang, Gulai Melaka. Datang kerja pun fikiran ntah ke mana. Kampung halaman di sana, berhimpun sanak saudara.
Tapi kita sudah pastinya jangan lupa. Kepada mereka yang kurang upaya. Hari Raya pun untuk mereka. Tak salah kalau kita bantu mereka. Sudah tentu pagi raya nanti, abah, mak, anak-anak, kakak, abang, makcik, pakcik, pak ngah, pak long, mak teh, bergaya dengan baju raya yang dah berbulan-bulan siap lamanya. Heheh... masa raya nilah agaknya mereka semua nak melaram. Si Ayah masa nilah yang boleh pun pakai baju melayu siap bersongket. memang segak rupanya. Ibu tengok terkenang saat-saat berkahwin dulu. Nak pakai lepas raya, takut Si Ibu pula cemburu, kata Si Ayah gatal nak cari lain. Ada ke patut...!!!
Sudah pastinya di hari raya ni semua orang bergembira. 1 Syawal adalah untuk umat Islam bergembira. bermaaf-maaafan sesama kita seagama. Lupakan segala sengketa lama dan mulakan dengan ikrar yang baru.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
DAN MAAF ZAHIR BATIN

Wednesday, September 9, 2009

PONDOK PLASTIK TEPI KUBUR

Pondok Plastik Tepi Kubur adalah salah sebuah drama saya yang akan di tayangkan di saluran Astro Prima tidak lama lagi. Semalam (9/9/09) saya pergi melawat lokasi untuk bersama para pelakon dan berkenalan dengan pengarah serta krew drama tersebut. Rata-rata saya amat berpuas hati dengan komitment dan tolerensi daripada mereka semua. Saya amat berterima kasih kepada mereka dan semoga drama ini akan mendapat perhatian dari anda semua sebagai penonton. Melihat dari Pengarah yang buat kali pertama saya bekerja dengannya, beliau seorang yang rendah diri dan senang di dekati. Beliau juga seorang yang berbincang demi untuk penambahbaikan sesuatu drama yang di hasilkan. Syabas saya kepada Abang Faizal selaku Pengarah, Puan Refena sebagai Penerbit di bawah syarikat Darkwave Picture Sdn. Bhd. serta Zaini dan krew-rew semua dan tidak lupa kepada para pelakon yang amat menonjol serta berbakat.

Penulis Skrip : Tok Uban

Wednesday, August 26, 2009

1 MALAYSIA


KONSEP 1 MALAYSIA

1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.
Dalam erti kata lain 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Monday, August 24, 2009

SEGALANYA KU TERIMA


Yang ni pula Drama bersiri pertama aku selama 26 Episod di TV3. Bagi aku ianya satu pengalaman yang cukup bagus untuk aku mempelajari dunia seni ini dan mempertingkatkan lagi hasil penulisan aku. Sokongan anda amat di alu-alukan.

KASIH TANIA


INI ADALAH SALAH SATU KARYA AKU YANG BOLEH DIKATAKAN PECAH TV (BUKAN PECAH PANGGUNG SEBAB TELEFILEM JE). CERITA INI DIARAHKAN OLEH SEORANG PENGARAH YANG BERKALIBER DAN KREATIF DAN PARA PELAKON YANG AMAT HEBAT DAN BERBAKAT. SAYA MENGHARGAI MEREKA SEMUA DALAM MENJAYAKAN TELEFILEM INI. TERIMA KASIH.
- Tok Uban

MUTIARA KATA


"SESUNGGUHNYA IMPIAN DAN CITA-CITA ITU MAMPU MENJADI KENYATAAN JIKA ANGAN-ANGAN DI USAHAKAN DAN KEMUDIAN BERANI SETERUSNYA BERTAWAKAL KEPADA ALLAH YANG MENENTUKAN SEGALANYA"


- Dari meja Penulis

Sunday, August 23, 2009

SELAMAT BERPUASA

Bersempena kemunculan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Saya sekeluarga ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Selamat menjalani ibadah puasa setekun-tekunnya. PUASA TAU, JANGAN TAK PUASA..!!

Keluargaku





















Friday, August 21, 2009

ASSALAMMUALAIKUM...

TERIMA KASIH KERANA SUDI MELAWAT BLOG INI. SEGALA CADANGAN DAN PENAMBAIKAN TUAN / PUAN, SILA KEMUKAKAN KEPADA SAYA UNTUK MENCERIAKAN LAGI BLOG INI. SEKIAN, TERIMA KASIH.

Dari : TOK UBAN